Selasa, Oktober 28, 2014

Amatur Berpendapat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Ruangan dalam blog ini bukan untuk tujuan dikongsi atau di publish kepada mana-mana pihak.  Ia adalah tujuan untuk suka-suka hati akulah, pasal ini blog aku yang punya. Bukan Ahmad Albab atau sesiapa pun yang punya.


"HAK MILIK PERSENDIRIAN. PELAWAT DIBENARKAN. PENCEROBOH PRIVACY DENGAN SEGALA HORMATNYA BOLEH BLAH"






Q&A

Kenapa banyak entry jiwang-jiwang?
Nama pun blog ni aku yang tulis, SUKA ATI AKU LAH. Yang ko sebok pesal?

Pe kehal nak sound2 orang? Macam ada org nak visit blog dia.. :P
PEDULI apa. Aku tak mintak bayar tiket masuk pun kira baiklah. Nama pun blog ni aku yang tulis. SUKA ATI AKU LAH. Yang ko sebok pesal?


NOTIS: 
Jadi paham-paham bila tag line ini sudah keluar. Maka SUKA ATI AKU LAH. ADA AKU KESAHH?

Balada Sang Kerikk


Kerikk.. kerikkk.. kerikkk..

Sayup di hujung malam
Persembahan dendang buana
Di pentas sudut alam
Dalam sejuk dingin 
Layar pun melabuhkan ceritera

Kerikk.. kerikkk.. kerikkk..

Ibarat gesekan merdu sang biola
Mengiringi dondang sayang Sang Kodok
Menyeru-nyeru awan menitiskan air matanya
Bersuara latar Si Kerawit yang membisik
Indah merdu bagaikan Orkestra Pilharmonik
Mempersembah biduan pujaan 

Mendodoi halwa penghuni mimpi

Kerikk..kerikkk.. kerikkk..


Menjelang dinihari
Persembahan bakal berakhir di sini
Si Jampuk sedang beraksi
Merayu purnama yang malu-malu
Sebentar lagi Si Jalak akan mengumumkan
Tamatnya kugiran buat seketika
Bakal ketemu semula dengan izinNya
Mempedengar dendangan kugiran alam buana
Andai pentas ini masih sama

Kerikk.. kerikkk.. kerikkk..

Adakah yang peduli
Ada atau tiada kamu
Bukan bererti apa-apa
Melainkan buat Si Kaki Joran
Gunamu buat umpan 
Mana tahu dapat habuan tongsan

Kerikk.. kerikkk.. kerikkk..

Selamatlah kamu di sana
Siapa-siapapun kamu di mata mereka
Suatu masa, pasti akan terasa
Bila malam yang bening
Tidak seharmoni dahulu
Rindunya pada kerikk.. kerikk..
Hanya hati yang sudi
Akan merasai

Kerikkk.. kerikkk.. kerikkk..



Cengkerik Desa Lewat Oktober 2014
ZUBIHA
Sg Long 

Isnin, Februari 10, 2014

Terpencil

Assalamualaikum..

Selalu merasa diri ini kecil.. tidak kira di kalangan siapapun.  Badan sahaja yang besar.. tapi hati ini sangat kecil. Rasa mahu menutup diri di sudut paling terpencil.. Ada masanya itulah yang aku rasa.. malah semakin kerap kini. Bagai tiada hati untuk kelihatan di samping insan-insan yang mengenali. Jika boleh dipadam seluruh ingatan tentang diri ini pasti akan aku lakukan. 

Sejak dari mula aku mengenal diri dan kehidupan.. tidak pernah aku mencapai impian. Segala cita-citaku akan berkubur setengah jalan. Kadang-kala tak sampai pun setengah.. aku sangat putus asa. Dari segenap pencapaianku.. tidak ada satupun yang memberi erti dan kesan yang terbaik.. Apakah sudah tertulis suratan malang buat diriku? Ya Allah, setiap kali aku muhasabah dengan diri ini.. tidak ada satupun yang kekal sempurna untuk aku senaraikan sebagai pencapaian diriku di dunia. Balik-balik kegagalan yang menyapa.. SOS sana-sini. Aku dah bosan untuk mintak tolong. Aku dah bosan untuk menangis. Hati ni dah kering-kontang. Tiada lagi ihsan waima untuk diri sendiri pun.

Kerana itukah... aku tidak lagi teruja dengan cadangan perojek2 baru.. begitu-begini. Aku tidak lagi teruja untuk memohon posisi yang lebih tinggi. Aku tidak lagi berangan-angan untuk sampai ke bulan-bintang.  Aku adalah aku yang kini.  Lebih rela menjadi kuli batak dengan gaji yang kecil. Aku tidak lagi melihat masa depan lagi 10 tahun ke 20 tahun. Aku hanya melihat diri aku untuk hari ini dan esok adalah cerita hari esok jika masih ada nafas menyambung hariku. 

Bukan aku hendak membandingkan diri ini dengan orang lain. Tapi aku selalu sedar di tahap mana pandangan orang lain akan diri ini. Aku sudah lali dengan pandangan itu.  Cuma aku sangat terkilan bila insan yang aku hormati menilai harga diri ini seperti butiran pasir yang tidak bernilai. Pedih bagai dihiris-hiris sembilu.  Namun aku diamkan juga. Aku sedar, siapalah aku jika tidak berharta.  Jangankan harap belas kasihan, malah dikutuk dan dihina adalah lumrah.   

Aku hanya menumpang di sini. Hingga hujung nafas terakhirku. Ya Allah, ampuni aku yang hina ini.  Jika lahirnya aku ke dunia adalah beban buat orang lain, Ya Allah, aku mohon diringankan beban mereka yang terpaksa menerima tempias nasib malang diriku. Janganlah Kau tambahkan dosa-dosa mereka dengan kesusahanku. Aku mohon Ya Allah, janganlah dijadikan aku ini ujian yang mengheret mereka ke nerakaMu. Kau kurniakanlah pahala syurgaMu buat mereka yang meringankan bebanku dalam kerelaan ataupun terpaksa. Walaupun aku tahu, tiada satu zarah pun yang mampu digerakkan melainkan dengan izin-Mu. Kerana setiap yang berlaku adalah rahsia dan ketentuanMu. Kaulah yang menggerakkan hati-hati kami. Hanya Engkau yang tahu kesudahannya. Aku hanyalah hambamu yang hina. Sesungguhnya tidak terdaya untuk aku memandang wajah insan-insan yang banyak membantuku tatkala aku kebuntuan, melainkan hanya kepadaMu aku mohon balasan pahala buat mereka. Kau yang Maha Mengetahui setiap isi hati kami, Ya Allah. Ampuni diri ini yang lemah lagi hina. Aamiin Ya Rabalalamin.

Jumaat, Januari 17, 2014

Natijahnya Fatamorgana

Bagai ditoreh tiada darah
Begitulah kelihatannya wajah
Di lubuk jiwa tinggal sepah
Tiada lagi sisa maruah
Sudah lama hilang arah
Semangat telah parah

Dalam kelam lintas silau
Mungkin itu cahaya kemilau
Harapan bagi yang sasau
Buat jiwa yang galau
Diserkap duri ranjau
Duniamu bukan lagi hijau

Berpegang hanya yang satu
Namun kalbu tidak tentu
Sekejap ke hilir kadang ke hulu
Jika di situ ada wahyu
Harap teguh jitu
Kerana semalu mudah layu

Bila-bila bakal senja
Kelam-kabut mencari pelita
Bayu jarang berbahasa
Kala badai semakin gila
Semakin hilang ceria
Walau amukan sudah reda
Calarnya tetap ada
Merosak setiap jiwa

Dia melihat natijahnya
Di sebalik fatamorgana

Rabu, Disember 04, 2013

Pelangi Sebalik Kabut

Bab 1,

Malam-malam terakhir dihabiskan di laman sosial muka buku. Hati semakin remuk rendam. Amarah apakah?

Jauh merenung paparan skrin. Semakin membosankan seiring dengan realiti hidup ini yang tidak memberi apa-apa makna lagi. Apa lagi yang tersisa kini, Harga diri sudah tiada nilaian di mata.  Apatah lagi insan yang paling diagungi selama ini pun memandang jelek pada batang tubuh layu ini.

Mata mengalih pada pandangan alam melalui jendela kaca, menerobos kegelapan di sebalik cahaya suram neon-neon pinggiran kota. Hati berbisik lagi. "Di sini bukanlah tempatku.  Aku tidak lagi diperlukan di daerah ini. Jadi, ke manakah hendak ku tuju? Di manakah daerah yang bisa menerima diri ini sehingga ke akhir nafasku?"

Ikutkan hati mahu sahaja aku lari dari semuanya hingga ke hujung benua. Biar tiada siapa yang bisa menjejaki. Hilangkan diri ke mukim yang tiada insan-insan mengenali diri ini. Aku ibarat telah tewas di medan perjuangan. Segenap tubuhku telah calar-balar dan hampir tusukan panah itu merobek tangkai jantungku. Tetapi aku belum bisa mati lagi.  Kenapakah Tuhan membiarkan aku luka berdarah nan parah begini?  Untuk bangun lagi, sememangnya sudah tiada dayaku.

"Astaghfirullahalazim," mudahnya aku melayan bisikan iblis yang merosakkan.
"Ya Allah, ampuni aku yang terlanjur membicarakan qada' dan qadarMu. Bukan layakku untuk berfikiran begitu."

Sudah dinihari kini. Puteri-puteriku sudah lama dibuai mimpi. Merenung wajah mereka yang suci dan tenang, aku jadi sayu. Jalan mereka masih jauh lagi.  Apakah ada bahagia menanti mereka di hadapan sana? Memikirkan itu, perasaan ini sungguh terganggu. Aku benar-benar sebak. Sungguh aku merasa bersalah di atas ketidakmampuanku.  Aku ini, ibu yang macam apa? Aku ini, ibu yang tidak berdaya. Sesungguhnya hati ini terlalu mengutuk diri sendiri.

Semangatku semakin longlai.  Segala-galanya bagai dingin beku mengikat kaki ini untuk bangkit berjuang lagi.  Saban hari aku hanya menerima kata-kata membunuh semangat. Perlahan-lahan membunuh jiwa yang patah.  Aku ingin berpaut mencari kekuatan yang hilang. Tetapi hanya angin yang bisa kugapai.

"Ya Allah, kurniakanlah aku penawar hati yang lara. Agar aku bisa bangkit dengan semangat perjuangan yang tak bisa kalah lagi. Ya Allah, dengarkanlah rintihan hambaMu ini. Aamiin Ya Rabbul Alamiin."

"Alhamdulillah, semoga Allah membuka jalan untukku. Semoga pelangi muncul lagi di sebalik kabut ini."

Esok akan aku mulakan hari baru, dengan semangat baru. Semoga Allah mengizinkan kejayaan dan bahagia buatku dan juga insan-insan di sekelilingku. Insya Allah. Pejamlah mata dengan mimpi-mimpi indah. Semoga mimpi indahku menjadi kenyataan. Aamiin.

ZUBIHA BMC


Rabu, September 11, 2013

Bila Mata Enggan Lena

Sudah dinihari.
2/3 malam masih mencari-cari
Benarkah aku sudah melapangkan jiwa
Mengutus ampun segenap benua
Namun mengapa masih  bugar
Mata ini belum sudi melayar mimpi

Sejurus pulang yang lewat
Akal ini masih mencari kata
Namun belum ada yang terjumpa
Sampai ke saat ini sungguh aku kecewa
Tiada pilihan di jalanan buntu
Menjadikan aku patung yang kaku

Aku mahu pulang ke daerah asalku
Aku mahu tinggalkan semua yang semak di kalbu
Namun mereka kata aku bagai pelarian mimpi
Kerana tidak berani menghadapi realiti
Sedang asal galas di bahuku
Hendakku leraikan ikatannya
Tidak terdaya lagi kupikul
Hingga jejak hampir menyembah bumi
Aku bukanlah pilihan yang sejati

Bilakah simpulan ini akan terurai
Melepaskan lelah yang teramat

Aku mahu pergi
Sungguh aku kecewa
Hingga saat ini tiada pengubatnya
Segala jerih perih yang terdahulu
Tiada nilai di mata mereka
Malah akulah pesalah yang berdosa
Jatuh hukum tanpa bicara
Begitulah padan dengan muka

Bisik hatiku
Mengharapkan waktu bakal terhenti
Sampai tiada lagi bayang ini
Yang menyesakkan sanubari
Tangan-tangan kecil dalam dakapan
Mendukung kekuatan walau tinggal seinci
Memberi hembusan semangat
Buat hati yang patah
Akan ku genggam erat
Selagi hayat dikandung badan

Pejamlah mata
Bawalah mimpi-mimpi indah di dalam lenaku
Walau tidak dapat kukecapi di alam fana ini
Izinkan aku bahagia di sini
Cukup buat pengubat luka
Di saat aku berjaga


Zubiha
Sept 2013
BMC




Sabtu, Mei 18, 2013

Apa2 Laaa

Assalamualaikum..

lama x bervlogging ni.. uhuks tensen bukak vlog dah something wrong somewhere.. apa ke heinya nih.. owhhh apakahhh? huh whatever la kata omputeh.. sebbaik aku kelabu :P 

Rabu, Februari 08, 2012

Pejam Celik Pejam Celik

Assalamualaikum w.b.t.h.

Pejam celik, pejam celik, kini Encik Februari muncul kembali.  Cepatnya Cik Januari ditinggalkan.  Peristiwa penting di bulan Februari ini adalah...jeng..jeng..jeng.. Hehehe.. kita tak mainlah valentine2 ni.  Itu bukan budaya orang Islam.

Yang pertamanya pada tahun 2012 ni, Maulud Nabi jatuh pada 5hb Februari 2012 bersamaan 12 Rabiulawal 1433 Hijriah.  Hari yang mulia ni banyak-banyak berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.  Walaupun tak pernah melihat wajah Rasulullah ni, terasa rindu sungguh dengan baginda s.a.w.  Zaman ini amat sukar untuk melihat insan yang memiliki akhlak Rasulullah s.a.w. yang amanah, fathonah, siddiq, tabligh. Jika ada semua tu, pasti aman damailah dunia ni.

Yang keduanya, hihi.. 10th Anniversary hujung minggu ni, 12 Februari 2012. Lantaran kesibukan begitu, begini, sedar-sedar sudah hampir 10 tahun aku bergelar puan-puan ni. Imbasan di balik layar kehidupan pun sedang menyorot jalan kenangan ku. Bila ku putarkan kembali jarum waktu dari saat-saat mula hingga kini, banyak sungguh rintangan untuk membangunkan keluargaku sekarang.  Pengorbanan, suka-duka itulah yang mengeratkan kami.  Jangkawaktu bukanlah ukuran untuk kita benar-benar mengenali diri pasangan kita.  Pelbagai peristiwa yang kadang-kala menjeruk rasa telah mematangkan aku untuk menilai hati-budi seorang lelaki.  Yang penting kesabaran dan cuba memahami situasi masing-masing menjadikan aku tabah dan masih gagah menghadapi badai yang mendatang.

Aku bukanlah segagah mana, kadang-kala tumbang juga dek perasaan curiga dan cemburu yang gemar bertandang di lubuk hati ni.  Tapi bukankah cemburu tu tandanya SAYANG.  Aku cuba untuk menjadi isteri yang understanding dan membahagiakan hati suami. Apa yang aku harapkan bukanlah balasan material darinya.  Kadang-kala isteri juga seperti anak-anak kecil yang perlukan sedikit perhatian dari yang tersayang.  Memang layak jika seorang isteri merasa cemburu jika suami lebih memberi perhatian terhadap minatnya seperti kereta dan sebagainya.  Sedangkan permintaan seorang isteri kurang dihiraukan.  Di situ, jika berterusan dibiarkan, isteri akan merasa terabai dan kurang keyakinan diri.  Isteri juga perlu bertindak untuk menyedarkan Encik Suami yang kadang-kala leka dengan dunianya.


Bagaimanapun, aku sangat bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dikurniakan seorang suami yang dapat menerima aku seadanya aku.  Walau banyak kekurangan, di antara kami akan cuba saling melengkapi setiap kekurangan.  Kami tidak akan segan untuk menambah ilmu untuk membina keluarga kecil kami.  Setiap pertengkaran akan kami akhiri dengan jalan perdamaian.  Kerana di hati kami keluarga kecil ini yang sangat disayangi.  Sesungguhnya, masih banyak lagi dugaan besar yang menanti di hadapan kami.  Kami telah berjaya mengharungi usia sepuluh tahun ini, InsyaAllah akan terus berjaya untuk sepuluh tahun lagi, dan lagi, dan lagi. Semoga rahmat Allah terus memberkati keluarga kecil kami hingga ke hujung nyawa. Aminn.



Zubiha, BBBangi