Semalam datang tinggalkan kenangan
untuk hari ini terima hakikat
bahawa esok bakal menanti penuh harapan...
Jika semalam terasa peritnya menelan pahitnya hempedu
Dan hari ini masih tinggal kelat di lidahmu
Biarkan ia sebati sebagai halwa pancaindera
Agar kamu bisa alah tegal biasa
Dengan perisa hidup yang secukup rasa
Biar penantian esok bakal mewarnai masam manis kehidupan
Kerana hasilnya bakal diganti kenikmatan
Rencah-rencah kehidupan pada hakikatnya
Sudah tersurat di saat perjanjian dulu
Telah termaktub pelbagai perisa di dalamnya
Tinggal kita untuk merasainya
Kotakan janjimu yang lalu
Atau kamu telah terlupa bahan-bahannya
Maka resepi hidupmu telah berubah rasa
Hambar dan kosong
Kerana alpa..
Zubiha~BBBangi