Selasa, Oktober 28, 2014

Amatur Berpendapat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Ruangan dalam blog ini bukan untuk tujuan dikongsi atau di publish kepada mana-mana pihak.  Ia adalah tujuan untuk suka-suka hati akulah, pasal ini blog aku yang punya. Bukan Ahmad Albab atau sesiapa pun yang punya.


"HAK MILIK PERSENDIRIAN. PELAWAT DIBENARKAN. PENCEROBOH PRIVACY DENGAN SEGALA HORMATNYA BOLEH BLAH"






Q&A

Kenapa banyak entry jiwang-jiwang?
Nama pun blog ni aku yang tulis, SUKA ATI AKU LAH. Yang ko sebok pesal?

Pe kehal nak sound2 orang? Macam ada org nak visit blog dia.. :P
PEDULI apa. Aku tak mintak bayar tiket masuk pun kira baiklah. Nama pun blog ni aku yang tulis. SUKA ATI AKU LAH. Yang ko sebok pesal?


NOTIS: 
Jadi paham-paham bila tag line ini sudah keluar. Maka SUKA ATI AKU LAH. ADA AKU KESAHH?

Balada Sang Kerikk


Kerikk.. kerikkk.. kerikkk..

Sayup di hujung malam
Persembahan dendang buana
Di pentas sudut alam
Dalam sejuk dingin 
Layar pun melabuhkan ceritera

Kerikk.. kerikkk.. kerikkk..

Ibarat gesekan merdu sang biola
Mengiringi dondang sayang Sang Kodok
Menyeru-nyeru awan menitiskan air matanya
Bersuara latar Si Kerawit yang membisik
Indah merdu bagaikan Orkestra Pilharmonik
Mempersembah biduan pujaan 

Mendodoi halwa penghuni mimpi

Kerikk..kerikkk.. kerikkk..


Menjelang dinihari
Persembahan bakal berakhir di sini
Si Jampuk sedang beraksi
Merayu purnama yang malu-malu
Sebentar lagi Si Jalak akan mengumumkan
Tamatnya kugiran buat seketika
Bakal ketemu semula dengan izinNya
Mempedengar dendangan kugiran alam buana
Andai pentas ini masih sama

Kerikk.. kerikkk.. kerikkk..

Adakah yang peduli
Ada atau tiada kamu
Bukan bererti apa-apa
Melainkan buat Si Kaki Joran
Gunamu buat umpan 
Mana tahu dapat habuan tongsan

Kerikk.. kerikkk.. kerikkk..

Selamatlah kamu di sana
Siapa-siapapun kamu di mata mereka
Suatu masa, pasti akan terasa
Bila malam yang bening
Tidak seharmoni dahulu
Rindunya pada kerikk.. kerikk..
Hanya hati yang sudi
Akan merasai

Kerikkk.. kerikkk.. kerikkk..



Cengkerik Desa Lewat Oktober 2014
ZUBIHA
Sg Long 

Isnin, Februari 10, 2014

Terpencil

Assalamualaikum..

Selalu merasa diri ini kecil.. tidak kira di kalangan siapapun.  Badan sahaja yang besar.. tapi hati ini sangat kecil. Rasa mahu menutup diri di sudut paling terpencil.. Ada masanya itulah yang aku rasa.. malah semakin kerap kini. Bagai tiada hati untuk kelihatan di samping insan-insan yang mengenali. Jika boleh dipadam seluruh ingatan tentang diri ini pasti akan aku lakukan. 

Sejak dari mula aku mengenal diri dan kehidupan.. tidak pernah aku mencapai impian. Segala cita-citaku akan berkubur setengah jalan. Kadang-kala tak sampai pun setengah.. aku sangat putus asa. Dari segenap pencapaianku.. tidak ada satupun yang memberi erti dan kesan yang terbaik.. Apakah sudah tertulis suratan malang buat diriku? Ya Allah, setiap kali aku muhasabah dengan diri ini.. tidak ada satupun yang kekal sempurna untuk aku senaraikan sebagai pencapaian diriku di dunia. Balik-balik kegagalan yang menyapa.. SOS sana-sini. Aku dah bosan untuk mintak tolong. Aku dah bosan untuk menangis. Hati ni dah kering-kontang. Tiada lagi ihsan waima untuk diri sendiri pun.

Kerana itukah... aku tidak lagi teruja dengan cadangan perojek2 baru.. begitu-begini. Aku tidak lagi teruja untuk memohon posisi yang lebih tinggi. Aku tidak lagi berangan-angan untuk sampai ke bulan-bintang.  Aku adalah aku yang kini.  Lebih rela menjadi kuli batak dengan gaji yang kecil. Aku tidak lagi melihat masa depan lagi 10 tahun ke 20 tahun. Aku hanya melihat diri aku untuk hari ini dan esok adalah cerita hari esok jika masih ada nafas menyambung hariku. 

Bukan aku hendak membandingkan diri ini dengan orang lain. Tapi aku selalu sedar di tahap mana pandangan orang lain akan diri ini. Aku sudah lali dengan pandangan itu.  Cuma aku sangat terkilan bila insan yang aku hormati menilai harga diri ini seperti butiran pasir yang tidak bernilai. Pedih bagai dihiris-hiris sembilu.  Namun aku diamkan juga. Aku sedar, siapalah aku jika tidak berharta.  Jangankan harap belas kasihan, malah dikutuk dan dihina adalah lumrah.   

Aku hanya menumpang di sini. Hingga hujung nafas terakhirku. Ya Allah, ampuni aku yang hina ini.  Jika lahirnya aku ke dunia adalah beban buat orang lain, Ya Allah, aku mohon diringankan beban mereka yang terpaksa menerima tempias nasib malang diriku. Janganlah Kau tambahkan dosa-dosa mereka dengan kesusahanku. Aku mohon Ya Allah, janganlah dijadikan aku ini ujian yang mengheret mereka ke nerakaMu. Kau kurniakanlah pahala syurgaMu buat mereka yang meringankan bebanku dalam kerelaan ataupun terpaksa. Walaupun aku tahu, tiada satu zarah pun yang mampu digerakkan melainkan dengan izin-Mu. Kerana setiap yang berlaku adalah rahsia dan ketentuanMu. Kaulah yang menggerakkan hati-hati kami. Hanya Engkau yang tahu kesudahannya. Aku hanyalah hambamu yang hina. Sesungguhnya tidak terdaya untuk aku memandang wajah insan-insan yang banyak membantuku tatkala aku kebuntuan, melainkan hanya kepadaMu aku mohon balasan pahala buat mereka. Kau yang Maha Mengetahui setiap isi hati kami, Ya Allah. Ampuni diri ini yang lemah lagi hina. Aamiin Ya Rabalalamin.

Jumaat, Januari 17, 2014

Natijahnya Fatamorgana

Bagai ditoreh tiada darah
Begitulah kelihatannya wajah
Di lubuk jiwa tinggal sepah
Tiada lagi sisa maruah
Sudah lama hilang arah
Semangat telah parah

Dalam kelam lintas silau
Mungkin itu cahaya kemilau
Harapan bagi yang sasau
Buat jiwa yang galau
Diserkap duri ranjau
Duniamu bukan lagi hijau

Berpegang hanya yang satu
Namun kalbu tidak tentu
Sekejap ke hilir kadang ke hulu
Jika di situ ada wahyu
Harap teguh jitu
Kerana semalu mudah layu

Bila-bila bakal senja
Kelam-kabut mencari pelita
Bayu jarang berbahasa
Kala badai semakin gila
Semakin hilang ceria
Walau amukan sudah reda
Calarnya tetap ada
Merosak setiap jiwa

Dia melihat natijahnya
Di sebalik fatamorgana