Rabu, Disember 04, 2013

Pelangi Sebalik Kabut

Bab 1,

Malam-malam terakhir dihabiskan di laman sosial muka buku. Hati semakin remuk rendam. Amarah apakah?

Jauh merenung paparan skrin. Semakin membosankan seiring dengan realiti hidup ini yang tidak memberi apa-apa makna lagi. Apa lagi yang tersisa kini, Harga diri sudah tiada nilaian di mata.  Apatah lagi insan yang paling diagungi selama ini pun memandang jelek pada batang tubuh layu ini.

Mata mengalih pada pandangan alam melalui jendela kaca, menerobos kegelapan di sebalik cahaya suram neon-neon pinggiran kota. Hati berbisik lagi. "Di sini bukanlah tempatku.  Aku tidak lagi diperlukan di daerah ini. Jadi, ke manakah hendak ku tuju? Di manakah daerah yang bisa menerima diri ini sehingga ke akhir nafasku?"

Ikutkan hati mahu sahaja aku lari dari semuanya hingga ke hujung benua. Biar tiada siapa yang bisa menjejaki. Hilangkan diri ke mukim yang tiada insan-insan mengenali diri ini. Aku ibarat telah tewas di medan perjuangan. Segenap tubuhku telah calar-balar dan hampir tusukan panah itu merobek tangkai jantungku. Tetapi aku belum bisa mati lagi.  Kenapakah Tuhan membiarkan aku luka berdarah nan parah begini?  Untuk bangun lagi, sememangnya sudah tiada dayaku.

"Astaghfirullahalazim," mudahnya aku melayan bisikan iblis yang merosakkan.
"Ya Allah, ampuni aku yang terlanjur membicarakan qada' dan qadarMu. Bukan layakku untuk berfikiran begitu."

Sudah dinihari kini. Puteri-puteriku sudah lama dibuai mimpi. Merenung wajah mereka yang suci dan tenang, aku jadi sayu. Jalan mereka masih jauh lagi.  Apakah ada bahagia menanti mereka di hadapan sana? Memikirkan itu, perasaan ini sungguh terganggu. Aku benar-benar sebak. Sungguh aku merasa bersalah di atas ketidakmampuanku.  Aku ini, ibu yang macam apa? Aku ini, ibu yang tidak berdaya. Sesungguhnya hati ini terlalu mengutuk diri sendiri.

Semangatku semakin longlai.  Segala-galanya bagai dingin beku mengikat kaki ini untuk bangkit berjuang lagi.  Saban hari aku hanya menerima kata-kata membunuh semangat. Perlahan-lahan membunuh jiwa yang patah.  Aku ingin berpaut mencari kekuatan yang hilang. Tetapi hanya angin yang bisa kugapai.

"Ya Allah, kurniakanlah aku penawar hati yang lara. Agar aku bisa bangkit dengan semangat perjuangan yang tak bisa kalah lagi. Ya Allah, dengarkanlah rintihan hambaMu ini. Aamiin Ya Rabbul Alamiin."

"Alhamdulillah, semoga Allah membuka jalan untukku. Semoga pelangi muncul lagi di sebalik kabut ini."

Esok akan aku mulakan hari baru, dengan semangat baru. Semoga Allah mengizinkan kejayaan dan bahagia buatku dan juga insan-insan di sekelilingku. Insya Allah. Pejamlah mata dengan mimpi-mimpi indah. Semoga mimpi indahku menjadi kenyataan. Aamiin.

ZUBIHA BMC


Tiada ulasan:

Catat Ulasan