Salam,
Tumpang lalu, saya cuma singgah sebentar di barisan ini. Harap tidak mengganggu. Persinggahan ini sementara saya menanti giliran dipanggil Bos Besar.
Dalam hati berdebar-debar. Apakah soalannya nanti bisa ku jawab dengan tepat? Ku cuba ingat nota-nota yang lalu. Adakah yang tercicir di mana-mana? Hmphhh... kalau yang itu tidak tercongak olehku.. kalau yang ini tidak tercapai akalku. Ohh.. aku benar-benar belum bersedia lagi. Rupanya masih ada lompang yang ternganga. Hendak ku tampal di mana? Sempatkah aku menyiapkannya sebelum panggilan Bos Besar bergema di kantor ini.
Wahh.. akaun yang lama belum lengkap, masih belum 'balancing' lagi. Di mana hendak ku ganti yang kurang itu? Banyaknya persoalan yang belum terjawab. Nanti nak kena jawab dengan Pegawai SPRM pula. Akaun banyak yang ternganga sana-sini. Arghhh.. semakin gentar ku menanti giliran ini. Tiada jalan pintas, hendakku belok ke barisan akhir. Ku harap giliran ku tidak terpanggil lagi. Kerana aku belum bersedia untuk menjawab. Tergiang-giang kata-kata Bos Besar..
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh."
dan masaku kini banyak terbuang di sini. Sia-sia tanpa amal soleh.. Sudahlah.. hentikan rungutan, kerana giliran itu semakin menghampiri. Tinggalkan barisan itu, dan tujulah satu laluanmu.. semoga sempat dibaiki segala yang pincang sebelumku menyahut panggilan itu. Amin.